Tuesday, May 26, 2009

Apakah Meningitis????

BAHAN BACAAN UTK IBU BAPA
Meningitis merupakan satu penyakit yang serius dan boleh menyebabkan kematian. Malangnya masih ramai ibu bapa di Malaysia mengabaikannya.

Pada Oktober tahun 2008, bapa muda yang hanya ingin dikenali Low melepaskan dengan gembira dua anak kesayangan Low Lui Lui, 2 dan Low Chai Chai, 18 bulan, terbang bersama isteri beliau untuk melawat keluarga mereka di England.

Bapa berusia 30 tahun dari Kepong, Kuala Lumpur itu tidak menyangka itulah lambaian dan ciuman terakhir anak bongsunya dalam satu percutian yang sangat tragis dan memberi kesan mendalam dalam hidupnya.

Bermula dengan batuk dan hidung berair, Chai Chai kembali sihat selepas diberikan ubat oleh doktor. Pada hari terakhir di England, Chai Chai masih cergas dan aktif. Bahkan, isterinya menidurkan Chai Chai tanpa sebarang tanda-tanda penyakit.

Namun, sekitar pukul 1 pagi pada 6 November tahun yang sama, tiba-tiba isteri beliau mendapati anak lelaki mereka berada dalam keadaan pucat dan sangat lemah. Chai Chai dikejarkan ke Hospital Bath di England, namun doktor tidak dapat menyelamatkannya. Chai Chai disahkan meninggal dunia pada pukul 2.19 pagi.

"Menyambut isteri dan Lui Lui di lapangan terbang tanpa Chai Chai di sisi cukup menyedihkan. Namun, apa yang menyebabkan saya lebih sedih dan kesal ialah apabila Chai Chai meninggal dunia hanya kerana saya berkira sangat dengan wang RM300," luah Low ketika ditemui Kosmo!.

Namun, penyesalan Low tidak berguna biarpun kali ini dia sanggup mengeluarkan belanja sehingga RM30,000.

"Doktor pernah menyarankan supaya anak saya, Chai Chai mengambil suntikan vaksin pneumokokus yang berharga RM300. Tetapi, kerana ia agak mahal dan tidak wajib, saya tidak mengambil suntikan itu untuk Chai Chai," cerita Low.

Hasil ujian darah dan cecair serebrospina (CSF) yang dilakukan, doktor mengesahkan bayi comel itu meninggal dunia disebabkan meningitis pneumokokus dan septisemia.

Enggan peristiwa itu berulang, Low membuat keputusan untuk mengambil suntikan vaksin pneumokokus untuk anak perempuan sulungnya.

Menurut Pakar Perunding Kardiologi dan Pediatrik, Pusat Perubatan KPJ Selangor, Datuk Dr. Zulkifli Ismail, jika kanak-kanak menghidap meningitis lambat menerima rawatan kebarangkalian untuk pulih sepenuhnya adalah tipis.

"Berkemungkinan besar ketika itu organ-organ mereka terutama otak telah pun mengalami kerosakan yang teruk.

"Meningitis lebih berbahaya sekiranya ia menyerang kanak-kanak atau bayi. Ini kerana, kanak-kanak atau bayi yang diserang meningitis tidak mempunyai antibodi yang tinggi untuk melawan penyakit tersebut.

Zulkifli berkata, jika ibu bapa dapat mengenal pasti simptom anak-anak mereka yang diserang meningitis dan segera mendapatkan rawatan di hospital kanak-kanak tersebut boleh pulih seperti sediakala.

Namun dengan simptom seperti demam, enggan minum, mengalami sakit kepala, menangis berterusan dalam nada yang nyaring, muntah, ruam dan lebam-lebam, biasanya bukan mudah untuk ibu bapa mengesan penyakit itu.

Ujarnya, jika kanak-kanak berumur kurang dua tahun, agak sukar untuk menentukan sama ada mereka terkena meningitis atau penyakit lain.

Sebaliknya, bagi kanak-kanak berusia lebih dua tahun, penyakit itu boleh dikesan melalui tengkuknya yang tegang dan mereka mengadu kesakitan ketika tunduk.

Bagaimanapun, apa yang menyedihkan sehingga kini kesedaran di kalangan ibu bapa tentang kepentingan vaksinasi masih rendah.

Hasil penyelidikan Wyeth (Malaysia) Sdn. Bhd., sebuah syarikat farmaseutikal, pemakanan dan penjagaan kesihatan, mendapati, hanya sekitar enam peratus ibu bapa yang memberitahu anak-anak perlu menerima suntikan vaksin pneumokokus. Kebanyakannya hanya menyebut tentang polio, campak dan beguk.

"Apabila anak dibawa ke klinik atau hospital, doktor menyarankan agar anak tersebut diberikan suntikan vaksin pneumokokus. Kebanyakan ibu bapa akan melengahkan saranan doktor kerana berpendapat suntikan tersebut mahal dan tidak wajib.

"Malangnya, apabila keadaan anak di peringkat yang teruk, baru mereka membawa anak ke hospital untuk rawatan. Namun, pada masa itu mungkin mereka boleh diselamatkan atau organ-organ dalaman tubuh mereka telah rosak," katanya mengenai bahaya penyakit itu.
Meningitis merupakan radang pada bahagian meninges iaitu selaput otak dan saraf tunjang. Penyakit boleh terjadi atas dua sebab iaitu jangkitan virus atau bakteria.
Meningitis daripada virus lazimnya kurang teruk dan boleh pulih tanpa rawatan spesifik. Namun, meningitis kerana serangan bakteria biasanya agak serius dan mungkin membawa kepada kerosakan otak, hilang pendengaran, kurang upaya dalam pembelajaran dan yang paling menakutkan membawa maut.

Tambah Zulkifli, kebiasaannya terdapat tiga jenis bakteria yang menyebabkan penyakit meningitis iaitu Streptokokus pneumonia, Hemophilus influenza dan Neiseria meningitis.

Penyebab lain penyakit meningitis ialah enterovirus, kumpulan coxsackie A dan B, virus polio, beguk, campak, herpes simplex, varisela , streptokokus pnemonia dan pneumokokus.

Bakteria meningitis yang paling berbahaya adalah disebabkan oleh neiseria meningitis atau meningokokus. Kedua-dua bakteria itu tersebar melalui udara atau sentuhan langsung dengan pembawa atau penghidapnya.

Dari saluran pernafasan ia memasuki saluran darah dan menyebabkan septisemia (keracunan darah) yang teruk dan terus ke otak lalu menyebabkan meningitis.

Zulkifli memberitahu, kebanyakan bayi yang menghidap meningitis dijangkiti daripada ibu bapa, adik-beradik atau saudara-mara semasa berada di rumah.

Selain itu, jangkitan di luar contohnya sewaktu membeli-belah di pasar raya tetap boleh menjadi cara penyebaran.

"Mereka juga mungkin hanya selesema atau batuk sedikit tetapi ia boleh menjangkiti kanak-kanak lain melalui kuman yang merebak dari saluran pernafasan ke selaput otak," katanya.
Oleh kerana bukan mudah untuk menyekat pendedahan anak-anak terhadap ciuman atau sentuhan ahli keluarga atau orang luar, luahan hati Low mengenai vaksinasi wajar menjadi iktibar.

1 comment:

MaSLiNa said...

Aiseh.. sy pun asyik bertangguh je nak bagi suntikan vaksin nih kat Zafri.. dah umur setahun lebih dah nih.. Kak Yanie dah bwk Putri dptkan suntikan nih ke? mmg agak mahal la.. sbb harga satu jab dlm RM300, kene bagi dlm 3 dos.. so, RM900 la.. not because of money tapi mungkin org mcm sy nih kurang kesedaran kot.. balik nih mmg kene bincang dgn hubby pasal suntikan nih la..